Drama Bersiri: “Selembut Kasih Sutera, Secerah Cahaya Ilahi.” Episod 4 – Cintanya Seorang Sahabat.

Episod 4 – Cintanya Seorang Sahabat.

Pagi Ahad itu berjalan seperti biasa. Ada yang beriadah, ada juga yang mengulangkaji pelajaran dan ada juga hanya menghabiskan masa mereka dengan tidur di sahaja. Aidil, Syamir, Syahrul dan Hanif sedang beriadah pagi itu. Mereka membuat larian di sekitar kawasan sekolah. Setelah penat berlari. Mereka duduk berehat di hadapan pintu asrama kerana keletihan. Di pintu masuk asrama, mempunyai sebuah pondok kecil yang dibina. Mereka duduk di situ untuk menghilangkan keletihan.

“Kamu tak naik bilik ke?” soal Pak Cik Samad kepada mereka. Pak Cik Samad merupakan seorang Pengawal Keselamatan yang bertugas di asrama mereka.

“Kejap lagi lah pak cik. Letihlah. Kejap lagi kami naik.” Jawab Syahrul sambil menarik tuala kecil yang tergantung di lehernya lalu menyapu peluhnya yang mengalir dipipinya.

Dalam mereka merehatkan diri sebentar di pondok itu. Dari luar pagar asrama, kelihatan sebuah kereta Proton Gen-2 berwarna hitam meluncur laju dan meletakkan keretanya berhampiran dengan pintu asrama. Hanif hanya memerhatikan sahaja kereta itu kerana dia yang duduk berhadapan dengan jalan utama itu.

Apabila pintu kereta dibuka. Kelihatan seorang lelaki berkaca mata hitam, berkulit putih, tinggi, rambut hadapannya sedikit panjang dan hampir menutupi matanya. Memakai kemeja putih, berseluar hitam, dan berkasut kulit berwarna hitam. Ditangan kanannya mempunyai sebuah I-pad yang erat dipegang. Dia melangkah masuk ke asrama dan terus memasuki pejabat asrama. Tn. Hj. Faizal ada pada pagi itu di asrama kerana menantikan Pembantu Warden yang baru iaitu Cikgu Rizal.

Hanif berteka-teki dimindanya. Adakah orang yang dilihatnya itu merupakan Cikgu Rizal yang dimaksudkan oleh Tn. Hj. Faizal?

“Jom naik bilik. Mandi dulu. Badan pun dah melekit ni.” Ajak Syahrul.

“Okay!” jawab Aidil dan Syamir serentak.

“Nif! Engkau tunggu apa kat situ? Mengelamun ke?” sergah Syamir dari belakang.

“Maaf. Aku berfikir sesuatu tadi. Dah. Jomlah kita mandi.” Jawab Hanif dengan nada yang tersekat-sekat. Mungkin kerana terkejut.

Mereka berempat naik semula ke bilik dan membersihkan diri. Selepas mandi, Aidil dan Syamir bergerak ke Bilik Ilmiah untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru. Nabil dan Alif tiada di bilik. Aidil mengetuk pintu bilik Syahrul dan Hanif sambil memberi salam. Apabila pintu dibuka dan salam dijawab semula. Aidil memulakan bicaranya.

“Syahrul! Nif! Jom buat kerja sekolah kat Bilik Ilmiah.” Ajak Aidil.

“Okay. Aku memang dah plan tadi pun.” Balas Syahrul ringkas sambil matanya memandang Hanif yang sedang baring di katilnya.

“Nif! Nak ikut tak?” soal Syamir.

“Aku ikut. Kejap ye. Nak amik buku.” Jawab Hanif sambil dia bingkas bangun dan mencapai bukunya.

Mereka berempat bergerak menuju ke Bilik Ilmiah. Apabila pintu ditolak, kelihatan Nabil, Alif dan Nazmi sedang mengulangkaji pelajaran bersama.

Mereka berempat masuk dan mengambil tempat bersebelahan dengan meja mereka. Mereka memanfaatkan masa yang ada sepenuhnya dalam menyelesaikan tugas yang diberikan oleh guru. Aidil mengajar Syamir subjek Sejarah dan Pendidikan Islam manakala Syamir pula mengajar Aidil subjek Fizik dan Kimia. Begitulah yang acap kali mereka lakukan pada hujung minggu demi memanfaatkan masa yang ada.

Hampir 2 jam lebih berada di Bilik Ilmiah. Jam menunjukkan pukul 12 tengahari. Aidil meletakkan kepalanya di atas meja. Mungkin kerana keletihan memerah otak untuk menyiapkan segala latihan yang diberikan. Nabil dan Alif masih tekun menyiapkan kerja sekolah mereka. Manakala Syahrul dan Hanif membaca surat khabar bersama. Syamir hanya duduk di atas meja sambil melihat sahabatnya yang dalam keletihan. Jarang Aidil berhenti menyiapkan kerja sekolahnya. Mungkin kerana keletihan pagi tadi masih belum hilang daripada badannya.

“Letih ke?” soal Syamir ringkas kepada Aidil.

“A’ah. Letihlah.” Aidil menjawab ringkas.

“Kalau macam tu. Jomlah balik bilik. Rehat dulu. Pukul 1 nanti kita makan tengahari. Jomlah rehat kat bilik dulu.” Ajak Syamir.

“Yelah.” Balas Aidil ringkas. Terpapar keletihan diwajahnya.

Mereka berdua mengemaskan buku di atas meja lalu bergerak keluar dari Bilik Ilmiah. Tiba-tiba langkah mereka disekat dengan soalan daripada Alif.

“Korang nak ke mana?” soal Alif minta kepastian.

“Balik bilik kejap. Aidil letih.” Jawab Syamir ringkas. Aidil sudah bergerak keluar terlebih dahulu.

“Owh. Jomlah sekali. Naik bilik. Kita orang pun dah lama kat sini.” Balas Nabil.

Mereka bertiga bergerak keluar dari Bilik Ilmiah. Aidil berdiri di hadapan pintu Bilik Ilmiah menunggu Syamir.

“Aik! Korang nak balik bilik sekali ke?” soal Aidil kepada Nabil dan Alif.

“A’ah. Kita orang dari pagi tadi kat sini. Tapi…” jawab Nabil. Suaranya tersekat. Matanya seperti melihat sesuatu.

Pantas Syamir memotong ayat Nabil, “Dil! Muka engkau pucatlah.” Sampuk Syamir sambil kedua-dua tangannya memegang pipi Aidil.

“Itulah yang aku nak katakan tadi. Kenapa ni, Dil?” soal Nabil semula.

“Badan engkau panas ni. Engkau demamlah aku rasa.” Syamir bersuara dengan nada yang risau.

“Jomlah bawak Aidil ke pejabat. Abah ada hari ini.” Cadang Alif kepada Syamir.

“Tak apalah. Sikit je ni. Jomlah balik bilik dulu.” Jawab Aidil perlahan.

Mereka berempat balik ke bilik. Syamir memegang erat tangan kanan Aidil dengan tangan kirinya. Tangan kanannya memegang bukunya dan sebahagian buku Aidil. Sebahagian lagi dibawa oleh Alif. Langkah Aidil perlahan. Syamir semakin erat memegang tangan Aidil apabila Aidil seperti mahu pengsan.

“Bawak Aidil ke pejabatlah.” Ajak Nabil.

“Tak apalah. Sikit je ni Abil.” Jawab Aidil perlahan.

Setiba mereka di bilik. Syamir memapah Aidil ke katilnya. Syamir menarik baju Aidil untuk ditanggalkan.

“Abil, bawakan aku air segayung dari bilik air.” Arah Syamir dengan nada yang risau.

Nabil segera mencapai gayungnya lalu bergerak keluar ke bilik air untuk mengambil air. Alif menyerahkan tualanya yang masih belum digunakan lagi kepada Syamir. Syamir mengambil botol air mineralnya lalu menyuapkan perlahan kepada Aidil. Aidil meneguk air itu perlahan.

“Imir! Nah, airnya!” Nabil memberikan gayung yang berisi air kepada Syamir. Alif dan Nabil duduk di sisi Aidil.

Syamir membasahkan tuala tadi lalu menyapu badan Aidil bermula dengan kepalanya sampai ke badannya. Aidil hanya mendiamkan diri. Matanya merah. Bibirnya pucat.

“Imir! Engkau dah bagi Aidil air tak?” soal Nabil kepada Syamir.

“Dah tadi. Aku dah bagi dia air. Kenapa?” Jawab Syamir sambil dia masih menyapu badan Aidil dengan tuala yang dibasahkan.

“Baguslah macam tu. Sebab dalam satu hadis, daripada Aisyah r.ha., bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Demam itu termasuk aura neraka Jahanam. Oleh itu, redakanlah dia dengan air.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 3263 dan Muslim no. 2210) Jawab Nabil sambil tangannya mengusap rambut Aidil.

“Kita bagi tahu Abah lagi baik. Kesian aku tengok Aidil macam ni.” Cadang Alif.

“Tapi, Aidil tak nak kan? Macam nilah, kalau demam dia tak reda jugak petang ni. Baru kita bagi tahu Abah ye?” jawab Syamir perlahan.

“Yelah.” Jawab Alif ringkas sambil dia menganggukkan kepalanya.

Siren berbunyi. Itu menandakan waktu makan tengahari.

“Dil! Tunggu kejap ye. Aku turun amik makanan untuk engkau dulu.” Bisik Syamir kepada Aidil.

“Korang! Jom turun makan dulu.” Ajak Syamir tergesa-gesa.

Sampai sahaja di Dewan Makan. Syamir mengambilkan makanan untuk Aidil lalu dia terus naik semula ke bilik. Alif dan Nabil hanya memerhatikan gerak Syamir.

“Lif! Engkau amikkan Syamir makanan. Dia pun belum makan tu. Dia amikkan makanan untuk Aidil je tadi.” Arah Nabil simpati.

“Okay!” jawab Alif ringkas sambil dia tersenyum.

“Aku hantarkan makanan ni dulu kat Syamir ye.” Sambung Alif lalu Alif bergerak naik ke bilik.

Sampai di bilik, kelihatan Syamir sedang menyuapkan Aidil makan. Perasaan terharu sebagai seorang sahabat terlintas di hati Alif. Tiba-tiba dia menitiskan air matanya.

“Kenapa ni Lif?” soal Aidil dengan nada yang tersekat-sekat. Syamir yang melihat berasa hairan.

“Entahlah, Dil! Aku sayangkan koranglah. Aku dah anggap korang macam keluarga aku sendiri. Aku terharu sangat bila tengok Imir suapkan engkau. Imir sendiri tak makan. Dia sanggup korbankan diri dia untuk sahabat dia. Aku kagumlah dengan korang semua.” Jawab Alif sambil dia mengesat air matanya.

Alif menyambung bicaranya, “Nah, ini makanan untuk engkau Imir. Jangan tak makan pulak. Lepas suapkan Aidil nanti. Engkau makan ye?” Alif berlalu pergi meninggalkan mereka lalu turun semula ke Dewan Makan.

“Lif! Engkau okay tak ni? Macam baru lepas menangis je engkau ni?” soal Nabil kehairanan.

“Tak adalah, Abil! Aku terharu sangat dapat kawan macam korang. Bukan masa senang je korang ada tapi masa susah pun engkau ada bantu antara satu sama lain. Tadi aku naik bilik, Imir tengah suapkan Aidil makan. Imir sendiri belum makan tapi dia lebih pentingkan sahabat dia. Aku rasa susahlah nak jumpa nilai persahabatan sehebat ni.” Luah Alif kepada Nabil sambil tangannya menyuapkan nasi perlahan-lahan masuk ke mulutnya.

“Alif! Ada sebuah hadis, daripada Anas r.a., daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu hingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri.’ (Hadis Riwayat Bukhari no. 13 dan Muslim no. 45) Jawab Nabil panjang lebar.

Alif menganggukkan kepalanya tanda faham akan apa yang disampaikan oleh Nabil. Selesai makan tengahari. Mereka bergerak menuju ke mussola untuk solat Zuhur. Tidak lama selepas itu, laungan azan berkumandang.

Aidil yang mendengar azan berkumandang. Dia segera memakai semula bajunya untuk turun ke mussola demi menunaikan solat Zuhur berjemaah. Syamir menghalangnya agar memintanya berehat di bilik dan solat sahaja di bilik tetapi Aidil tetap berkeras untuk turun ke mussola.

Syamir menemani Aidil turun ke mussola. Mereka solat berjemaah dengan diimamkan oleh Tn. Hj. Faizal. Seusai solat berjemaah ditunaikan. Semua bergerak balik semula ke bilik masing-masing.

“Nabil dan Imir! Jumpa abah di pejabat.” Arah Tn. Hj. Faizal sambil dia menyarung kasutnya. Nabil dan Syamir menganggukkan kepalanya.

“Abil! Aku hantar Aidil kat bilik kejap. Kejap lagi aku datang. Engkau pergilah dulu.” Arah Syamir kepada Nabil.

“Tak apalah, Imir. Biarkan aku jelah yang temankan Aidil naik ke bilik.” Alif mencelah.

“Betul tu. Tak apa Imir. Engkau pergilah pejabat dulu.” Tambah Aidil perlahan sambil dia menyarung seliparnya.

Alif menemani Aidil naik ke bilik manakala Nabil dan Syamir bergerak ke pejabat untuk berjumpa dengan Tn. Hj. Faizal.

Nabil dan Syamir mengetuk pintu bilik Tn. Hj. Faizal beriringan dengan salam yang diberikan. Salam dijawab dan Tn. Hj. Faizal membenarkan mereka masuk. Kelihatan seorang lelaki yang tidak dikenali berada bersama dengan Tn. Hj. Faizal. Seorang yang berkulit sawo matang, rambutnya pendek dan disisir rapi.

“Nabil! Imir! Ini abah kenalkan kepada kamu. Cikgu Rizal iaitu Pembantu Warden yang baru.” Terang Tn. Hj. Faizal. Nabil dan Syamir bersalam dengan Cikgu Rizal dengan senyuman yang terukir di bibir mereka berdua.

“Kamu berdua tolong tunjukkan bilik Cikgu Rizal dan bawa Cikgu Rizal untuk berjalan di sekitar asrama.” Arah Tn. Hj. Faizal tegas.

“Baik abah!” jawab mereka serentak.

“Nabil merupakan Kapten Asrama manakala Syamir pula Penolong Kapten. Nanti mereka akan kenalkan cikgu dengan jawatankuasa yang lain.” Tambah Tn. Hj. Faizal.

“Baiklah, tuan. Terima kasih atas penerangan berkenaan bidang tugas saya sebentar tadi. Saya berharap tuan akan mengajar saya serba sedikit berkenaan tugas ini kerana ini kali pertama saya ditugaskan untuk menjadi Pembantu Warden.” Jawab Cikgu Rizal dengan wajah yang ceria.

“Tak perlu ber’tuan’ dengan saya. Panggil saya Cikgu Faizal je ye? Kalau panggil ‘tuan’ ni ibarat saya ni polis pula. InsyaAllah akan saya bantu. Itu memang tugas saya. Saya rasa elok cikgu berehat di bilik dulu.” Balas Tn. Hj. Faizal mesra.

“Terima kasih ye cikgu.” Jawab Cikgu Rizal ringkas lalu dia mengangkat begnya. Manakala begnya yang lain dibawa oleh Nabil dan Syamir.

“Maafkan saya ye cikgu! Sebentar lagi saya menyusul. Ada tugas yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.” Tn. Hj. Faizal menambah.

“Tak mengapa. Saya faham.” Balas Cikgu Rizal ringkas lalu keluar dari bilik Tn. Hj. Faizal.

Nabil dan Syamir mengiringi Cikgu Rizal ke biliknya. Dalam perjalanan mereka ke bilik. Cikgu Rizal banyak menanyakan soalan berkenaan keadaan pelajar di asrama. Semuanya dijawab mesra oleh mereka berdua.

“Ini bilik cikgu. Bilik kami di hujung sana. Tingkat ni ditempatkan ke semua jawatankuasa asrama.” Terang Nabil sambil dia membuka pintu bilik Cikgu Rizal dengan kunci yang telah diberikan oleh Tn. Hj. Faizal.

“Owh. Macam tu rupanya. Mudahlah saya nak panggil kamu semua nanti.” Balas Cikgu Rizal sambil dia ketawa kecil.

“Cikgu nak melawat sekitar asrama ke?” soal Syamir.

“Tak kot. Cikgu nak kemas barang dulu dan berehat kejap. Selepas solat Asar nanti ye. Lagipun Cikgu Faizal kata dia akan kumpulkan semua pelajar asrama waktu Asar nanti untuk memperkenalkan saya kepada kamu semua. Cikgu Faizal tu baik orangnya dan nampak berpengalaman.” Jawab Cikgu Rizal bersahaja.

“Kalau macam tu. Kami balik bilik dulu ye cikgu? Kalau ada apa-apa, kami ada di bilik.” Balas Nabil lalu mereka berdua pergi dari situ.

Bersambung….

Leave a Comment

Powered by WordPress | Deadline Theme : An Awesem design by tg